Salam.  Salam pertama dari saya. Syukur ke hadhrat Ilahi kerana limpah kurnianya kita masih berupaya untuk bekerja dan bersemangat untuk mendidik. Portal ini merupakan salah satu wahana sumber maklumat dan ruang komunikasi yang berkesan bagi menjalin hubungan antara warga SK Labu Ulu  dengan masyarakat di luar sekolah. Sesungguhnya sesawang  seperti ini perlu diperluas fungsinya dengan mewujudkan rangkaian  dengan sekolah-sekolah lain , syarikat-syarikat swasta, PPD, JPN dan aplikasi aplikasi dalam talian yang lain.

          Alam pendidikan telah melalui reformasi yang paling pesat sesuai dengan hasrat kerajaan yang ingin menjadikan kemudahan serta kurikulum pendidikan bertaraf dunia. Sejajar dengan  perkembangan ini warga pendidik juga tidak terkecuali. Cara bekerja dan berfikir tidak boleh lagi  konvensional  seperti masa-masa yang lalu.  Pendidikan hari ini menuntut kita menjadi seorang guru yang kreatif, kritis dan saintifik serta mempunyai budaya kerja dan bertindak di ‘luar tetingkap’. Bagi mencapai indikator antarabangsa seperti yang dihasratkan oleh kerajaan, guru haruslah menganjak paradigma, bersedia menerima pembaharuan, mempunyai tahap  kompetensi yang tinggi serta berani   melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Semua ini menuntut usaha yang bukan sedikit namun cabaran ini wajar dilaksanakan secara profesional dan dengan penuh kebijaksanaan.

          Di kesempatan ini, saya ingin menyeru semua pihak, terutamanya yang mempunyai hubungan langsung dengan SK Labu Ulu agar dapat bersama-sama memperkasakan sekolah ini dalam semua bidang sehingga visi kita untuk menjadikan SK Labu Ulu  sebagai institusi yang disanjungi dan disegani kelak akan tercapai. Saya yakin bahawa warga pendidik SK Labu Ulu berkapasiti meneruskan peranannya untuk membina dan melahirkan modal insan yang berintegriti ,kreatif, inovatif, serta mempunyai perkembangan yang holistik, dan berdaya saing di peringkat global.Saya akan berusaha dan melakukan yang terbaik untuk kegemilangan SK Labu Ulu  sebagaimana yang diharapkan oleh semua pihak. Ingin saya ingatkan diri saya dan para guru , Kita seharusnya bersyukur kerana dipilih untuk  menjadi seorang guru, satu profesion yang sememangnya dianugerahkan terus dengan panggilan keramat "CIKGU". Setiap hari kita akan dipanggil “cikgu”, oleh murid-murid, ibu bapa, rakan-rakan serta mereka yang berada di sekeliling kita. Begitulah, dengan kemuliaan sebagai pendidik, seharusnya kita mempunyai jiwa yang besar. 

         Dengan tugas berat yang banyak kena kita tanggung, sayugialah kita terus terusan melaksanakannya dengan penuh redha, tekun, cekal dan tekal. Bayangkan, berapa ramai pemimpin, jurutera, angkasawan, usahawan, saintis, doktor,peguam  dan sebagainya yang akan kita lahirkan sepanjang kita berprofesion   sebagai seorang guru. Kalau betul sentuhan kita, moleklah jadinya. Kalau silap ajaran kita, rumitlah akhirnya. Saya percaya warga pendidik di sini merupakan mereka yang komited terhadap tanggungjawab yang telah diamanahkan. Usaha yang berterusan mampu melahirkan pelajar kita yang berdaya maju dan berdaya saing pada hari ini. Kegigihan dan ketrampilan pendidiklah menjadi penyumbang kepada usaha kerajaan melahirkan masyarakat minda kelas pertama.Selami diri dan jadilah guru yang sentiasa lebih baik pada hari-hari seterusnya.


   Untuk guru-guru SK Labu Ulu terima kasih kerana menjadi sahabat saya.

Puan Rahayu binti Mohd. Yunus
Guru Besar SKLU

3 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...