Thursday, August 28, 2014

On 7:11 PM by SK Labu Ulu in    No comments
Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat  dan kewarganegaraan bagi sebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor. Bendera dalam budaya Melayu biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah.

Terdapat 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Warna merah pada jalur membawa makna gagah berani dan warna putih pula membawa makna suci murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan Raja-Raja Melayu. Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setiakawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara Komanwel.

Sejarah Bendera Malaysia Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. Dalam pertandingan tersebut, ciptaan Encik Mohamad bin Hamzah  (arkitek kerajaan Johor) dipilih sebagai pemenang.

Walau bagaimanapun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.

Sehubungan dengan itu, buat pertama kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King Goerge VI pada 26 Mei 1950. Selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963,

Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubahsuai sejajar dengan kemasukan Sarawak, Sabah dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Walaupun Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965, namun Malaysia masih mengekalkan ciri-ciri benderanya. Setelah berkibar megah sejak 1950, pada malam 31 Ogos 1997, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu telah mengukir satu lagi sejarah apabila beliau mengumumkan nama baru bagi Bendera Malaysia iaitu JALUR GEMILANG.

Susunan Keutamaan Bendera

Susunan keutamaan Bendera Malaysia dan negeri-negeri ditentukan mengikut susunan keutamaan DYMM Raja-Raja Melayu dan TYT Yang Di-Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam Perkara 70, Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, susunan keutamaan bendera yang diguna pakai bagi tahun 2009 adalah seperti berikut:-

1. Malaysia
2. Kedah
3. Pahang
4. Kelantan
5. Johor
6. Perak
7. Perlis
8. Selangor
9. Negeri Sembilan
10. Terengganu
11. Sarawak
12. Pulau Pinang
13. Sabah
14. Melaka
15. Wilayah Persekutuan

Sumber: http://pmr.penerangan.gov.my/

Sunday, August 24, 2014

On 7:11 PM by SK Labu Ulu in    No comments

Bahagian Sukan, Sektor Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengemaskinikan
pindaan yang terbaharu ‘FIFA Laws of the Game 2014/2015’ ke dalam Bahasa Malaysia untuk
memudahkan pemahaman, pentafsiran dan aplikasi Undang-undang Permainan Bolasepak
yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2014.

Buku ‘FIFA Laws of the Game 2014/2015’ untuk 2 versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu telah dimuat naik dan boleh dimuat turun.

Muat Turun:
FIFA Laws of the Game 2014/2015 

Sumber:
Bahagian Sukan, Sektor Pelajaran, Kementerian Pendidikan

Wednesday, August 20, 2014

On 6:46 PM by SK Labu Ulu in    No comments
Tarikh : 18 Ogos 2014
Masa : 7.35 pagi
Tempat : Dewan Seri Budi
Perasmi : Tn Hj Kamaruzaman b Hj Hussin, Guru Besar SKLU
Aktiviti :
-Ucapan Perasmian oleh Guru Besar SKLU
-Nyanyian lagu-lagu patriotik

Tuesday, August 19, 2014

On 9:42 PM by SK Labu Ulu in    No comments
Tarikh : 15 Ogos 2014
Masa : 12.00 t/hari
Tempat : Dewan Seri Budi
Tetamu :
-YDP PIBG SKLU
-Ketua Kampung Pelegong
-Wakil Balai Polis Labu
-Para ibubapa yang sempat hadir
Terima kasih diucapkan kepada semua. Selamat Hari Raya , Maaf Zahir Batin

Wednesday, August 13, 2014

On 10:35 PM by SK Labu Ulu in    1 comment
Panduan Berguna Menjelang UPSR

BAGAIMANA MENGULANGKAJI? 
Antara perkara-perkara yang anda harus lakukan dalam proses mengulangkaji adalah:
1.  Membaca dan menyemak nota-nota bahan-bahan pelajaran sambil melengkapkan yang kurang. Ini akan memantapkan kefahaman dan ingatan anda terhadap subjek berkenaan.

2.  Membaca buku teks. Tujuannya untuk memastikan anda benar-benar faham setiap prinsip, isu dan fakta yang dimuatkan.

3.  Menjawab soalan-soalan latihan atau kerja rumah yang guru berikan. Ini akan membolehkan anda menguji kebolehan anda menjawab soalan yang sama dalam peperiksaan.

4.  Mengkaji contoh-contoh jawapan peperiksaan tahun lepas bersama skima jawapan. Ini akan membolehkan anda membiasakan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan lebih yakin dan pantas.

5.  Menjawab soalan-soalan yang  berbentuk objektif. Ini akan membolehkan mengetahui soalan-soalan yang anda sudah tahu menjawabnya dan soalan-soalan yang mengelirukan agar semasa peperiksaan jika soalan yang sama keluar, anda akan dapat menjawab dengan yakin.

6.  Bersoal jawab bersama-sama rakan. Selain ini membolehkan anda mengenalpasti sama ada anda sudah cukup bersedia atau tidak menghadapi peperiksaan, pada masa yang sama, anda juga boleh mendapat penjelasan tentang bahagian-bahagian yang anda kurang faham dari rakan anda yang mungkin sudah menguasai bahan pelajaran itu.


Tempoh Mengulangkaji (Pecutan Akhir) 
Adalah mustahil untuk menyatakan dengan tepat jumlah masa yang perlu diperuntukkan untuk mengulangkaji kerana kemampuan seseorang itu berbeza. Ada pakar yang mengatakan bahawa masa mengulangkaji perlu dilakukan selama 3 bulan. Ada pula yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana anda telah menamatkan tempoh belajar bagi menghadapi peperiksaan percubaan. Yang lain pula mengatakan selama 3 minggu. Ada juga yang berpendapat mengulangkaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan. Tetapi, sebagai panduan, 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk memulakan proses mengulangkaji. Namun, bagi pelajar yang lemah hendaklah proses mengulangkaji pecutan akhir ini dibuat lebih awal daripada yang disarankan di atas.
Anda mungkin perlu membuat ulangkaji beberapa kali sehinggalah anda benar-benar dapat menguasai setiap mata pelajaran anda. 

Merancang Program Mengulangkaji
Buat jadual ulangkaji yang seimbang bagi tiap-tiap mata pelajaran. Jadualkan juga masa berehat untuk mengurangkan ketegangan. Dalam mengulangkaji pelajaran, anda hendaklah berehat setiap 20 hingga 30 minit. Waktu rehat sekurang-kurangnya 5 minit.
Tumpukan pada topik utama sahaja. Tanya guru anda untuk mendapatkan "hint" (bayangan) tentang topik yang mungkin akan disoal di dalam peperiksaan. 
Semak contoh-contoh soalan tahun-tahun yang lalu supaya anda dapat menjangka bentuk jawapan yang diperlukan.
Ulangkaji dengan cermat setiap mata pelajaran. 
Sediakan nota-nota ringkas, terutamanya bagi topik yang dijangka akan keluar. 
Buat rangka jawapan topik-topik yang dijangka keluarberdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.
Latih diri anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas mengikut waktu yang telah ditetapkan.
Rujuk kepada guru apabila menghadapi masalah berhubung dengan pelajaran.
Jangan sekali-kali ponteng kelas ketika hampir peperiksaan.Anda mungkin tertinggal tip-tip penting yang diberikan oleh guru anda.
Pembahagian Mata Pelajaran Dalam Mengulangkaji Mata Pelajaran Yang Anda Lemah

Cuba sedaya upaya kuasai mata pelajaran ini. Jangan berputus asa. 
Banyakkan bertanya kepada guru atau rakan tentang mata pelajaran ini.
Mata Pelajaran Yang Anda Kuat
Jangan ambil mudah walaupun anda fikir sudah menguasainya.
Beri masa yang secukupnya kepada pelajaran ini untuk memastikan kejayaan anda. 
Bila hampir hari peperiksaan, lebihkan lagi tumpuan anda kepada mata pelajaran seperti ini.
Menilai Keupayaan Anda 
Anda haruslah menilai sejauh mana anda dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan. 

Berikut ini dipaparkan beberapa cara di mana anda boleh menilai serta memperbaiki keupayaan anda menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan.
1. Penilaian Dari Ujian dan Latihan  
Ujian / Peperiksaan yang dijalankan dalam kelas merupakan satu bentuk penilaian terhadap kefahaman dan keupayaan anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang sebenar. Berdasarkan keputusan ujian / peperiksaan tersebut, anda akan dapat mengetahui tahap penguasaan anda terhadap mata pelajaran-mata pelajaran anda. Melalui keputusan ujian tersebut, anda boleh memperbaiki segala kelemahan anda bagi menghadapi peperiksaan yang sebenar dengan jayanya.
2. Penilaian Dari Contoh Jawapan 
Anda juga boleh menguji tahap keupayaan anda dengan menjawab soalan-soalan contoh jawapan. Selepas anda menjawab soalan contoh jawapan, bandingkan jawapan anda dengan contoh jawapan. Kenalpasti di manakah kelemahan anda dan buat pembaikan sewajarnya. 
3. Penilaian Secara Lisan 
Contohnya, seorang pelajar menyoal kawannya dan meminta beliau menghuraikan secara lisan sehingga yang satu pihak lagi berpuas hati.


Mengatasi Kelemahan

Mencari Sebab (Post-Mortem) 
Anda perlu mengkaji kelemahan anda setiap kali anda selesai menjawab soalan-soalan ujian. Setelah anda selesai membuat latihan ujian, semak setiap jawapan yang anda buat. Sekiranya jawapan anda salah, lakukan 'post-mortem' (suatu proses mencari sebab kelemahan dan kekuatan). Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan perkara utama yang perlu anda atasi.
Sebab-sebab kesalahan berlaku:

Anda Tidak tahu - Ini bermakna persediaan anda belum mencukupi.  
Penyelesaian: Peruntukkan masa yang sewajarnya untuk anda menguasai tajuk-tajuk tersebut.

Anda Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham.  
Penyelesaian: Minta bantuan. Bertanyalah kepada guru atau rakan anda.

Anda Keliru  - Anda tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda ingin pelajari atau fahami. 
Penyelesaian: Tanyakan guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak berulang.

Anda Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi atau mengulangkaji apa yang telah anda pelajari.  
Penyelesaian: Kerapkan ulangkaji.

Anda Cuai - Anda tidak teliti semasa membaca soalan. 
Penyelesaian: Pastikan anda mengikuti langkah-langkah penting dalam Strategi Menjawab Soalan. Pastikan anda benar-benar sudah memahami kehendak soalan sebelum menjawab.

Umumnya, kelemahan-kelemahan anda boleh diatasi dengan:

Segera / selalu bertanya kepada guru/rakan tentang masalah anda dalam pelajaran. 
Mendapatkan jawapan-jawapan yang betul bagi jawapan yang salah. 
Mengulangkaji dan membaca nota-nota anda dengan kerapkali. 
Memahirkan diri dengan teknik menjawab soalan berpandukan contoh jawapan.

Terima Kasih :  Taidin Suhaimin ; Petikan dari buku Motivasi, Teknik Belajar & Strategi Menghadapi Peperiksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...