Monday, September 22, 2014

On 3:37 AM by SK Labu Ulu   No comments

KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
BERKAITAN PEMBATALAN UJIAN MATA PELAJARAN
MATHEMATICS & BAHASA TAMIL
UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2014

1.           Pada tarikh 21.9.2014 Lembaga Peperiksaan (LP) telah mengesahkan bahawa kertas ujian Mathematics 015/1 (SK), 025/1 (SJKC), 035/1 (SJKT), Bahasa Tamil 036, 037  bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 telah didapati bocor.

2.           Sehubungan dengan ini, pihak LP memaklumkan bahawa kertas ujian Mathematics 015/1, 025/1, 035/1, Bahasa Tamil 036, 037 bagi UPSR tahun 2014 yang berlangsung pada 10 September 2014 adalah DIBATALKAN. Tarikh baharu bagi ujian Mathematics 015/1, 025/1, 035/1, Bahasa Tamil 036, 037  adalah pada 9 Oktober 2014 setelah mengambilkira cuti umum Hari Raya Aidil Adha, dan aspek logistik (percetakan dan pengedaran). Selain itu, KPM menegaskan bahawa peperiksaan ini dilaksanakan semula bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan di samping menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR tersebut.

3.           Saya amat memahami perasaan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua.  Selaku Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia saya memohon maaf kepada murid-murid, ibu bapa, guru-guru dan semua yang terlibat ekoran insiden ini.  Saya telahpun mengarahkan semua Guru Besar dan guru untuk mengenalpasti dan memberi khidmat kaunseling kepada murid-murid yang memerlukan.

4.          Dengan itu, saya telah pun mengambil alih pengawasan seluruh proses pengendalian peperiksaan awam yang dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan sejak insiden kebocoran pertama dilaporkan pada 12 September 2014.

5.           Sebagai langkah serta-merta, saya sedang mengambil tindakan untuk membuat pertukaran pegawai-pegawai di Lembaga Peperiksaan bagi memantapkan lagi pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam.  Di samping itu, saya juga mengambil langkah mengetatkan lagi semua aspek keselamatan dalam pengurusan dan pengendalian kertas peperiksaan dari peringkat Lembaga Peperiksaan sehingga ke pusat peperiksaan.

6.           Saya memberi jaminan dan komitmen bahawa insiden kebocoran kertas-kertas peperiksaan awam  tidak akan berulang.

7.           Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan penyebaran berita palsu, saya menyeru pihak awam untuk melayari laman web LP www.moe.gov.my/lp untuk maklumat rasmi dan terkini berhubung perkara ini. Pihak awam juga boleh menghubungi HOTLINE UPSR 2014 LP di talian 03-88893601 @ 3551 @ 3809 @ 3520 @ 3030.





Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

22 September 2014
Sumber: http://www.moe.gov.my/

Sunday, September 21, 2014

On 2:51 AM by SK Labu Ulu in    No comments
Susunan dan kedudukan bendera adalah bergantung kepada di mana bendera-bendera tersebut hendak dikibarkan atau dihamparkan. Susunan yang biasa dibuat ialah:-

(i) Susunan di luar dan di dalam bangunan

(a) Susunan Pada Hari Biasa dan Hari-Hari Kebesaran Persekutuan

Jika hanya dua bendera dikibarkan di majlis peringkat Persekutuan yang diadakan dalam negeri, maka susunannya ialah seperti berikut:-
    Rajah 5: Susunan Bagi Dua Tiang Bendera

Jika tiga bendera dikibarkan di majlis peringkat Persekutuan yang diadakan dalam negeri, maka susunannya ialah seperti berikut:-
    Rajah 6: Susunan Bagi Tiga Tiang Bendera

(b) Susunan Pada Hari-Hari Kebesaran Negeri

Jika hanya dua bendera dikibarkan pada majlis peringkat negeri di negeri yang berkenaan, maka susunannya adalah seperti berikut:
susunan_7
  Rajah 7: Susunan Bagi Dua Tiang Bendera

Jika tiga bendera dikibarkan di majlis peringkat negeri di negeri, maka susunannya ialah seperti berikut:
susunan_8
  Rajah 8: Susunan Bagi Tiga Tiang Bendera


Bacaan selanjutnya klik sini:

Sumber ; http://pmr.penerangan.gov.my/

Wednesday, September 17, 2014

On 3:22 AM by SK Labu Ulu in    No comments
Tarikh : 12 September 2014
Masa : 7.35 pagi
Tempat : Dewan Seri Budi SKLU
Perasmi Penutupan : Tn Hj Kamaruzaman bin Hj  Hussin; Guru Besar SKLU
Aktiviti :
1.Bacaan Yasin
2.Ucapan oleh guru besar SKLU
3.Pertandingan pakaian beragam
4.Persembahan & nyanyian lagu-lagu patriotik
5.Penyampaian hadiah kepada pemenang aktiviti sepanjang bulan kemerdekaan

Syabas dan tahniah kepada penganjur, Panitia Kajian Tempatan serta semua murid SKLU yang telah mengambil bahagian.

Tuesday, September 16, 2014

On 8:32 AM by SK Labu Ulu in    No comments

Penubuhan Malaysia 16 September 1963

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen.

Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah. Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia.

Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan.

Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold.

Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom).

Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu. Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.

Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah di peroleh untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963. Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Rentetan Peristiwa

27 Mei 1961

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak kedalam satu bentuk kerjasama politik


23 Julai 1961

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephen.


Ogos 1961

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah


18-20 Disember 1961

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching Sarawak


6-7 Januari 1962

Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Selangor Legislative Assembly Chamber, Kuala Lumpur


17 Januari 1962

Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara(Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’ Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris bertindak sebagai Setiausaha

3-4 Februari 1962

Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia


21 Jun 1962

Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu

Julai 1962

Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Tuan Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan.


9 Julai 1963

Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British,Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.


16 September 1963

Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dihadapan lebih kurang 30 000 rakyat Malaysia

sumber : www.arkib.gov.my

On 7:09 AM by SK Labu Ulu in    No comments




Selamat Hari Malaysia kami ucapkan kepada semua. Pada hari ini genaplah 51 tahun gagasan Malaysia disambut dengan prinsip kesama rataan, hormat menghormati dan cinta mencintai sesama penduduk Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan dahulunya Singapura. Singapura tidak lagi bersama kita untuk menyambut hari yang sangat bersejarah ini. Sempena Hari Malaysia kami rasakan adalah bagus sekiranya kami menulis artikel yang bertemakan hari Malaysia. Mari lihat jenama teknologi dan tarikh penting dunia teknologi yang berlaku pada tahun yang sama Malaysia ditubuhkan.

Tetikus

Tetikus ialah peranti kawalan komputer yang prototaipnya dihasilkan pada tahun 1963. Ianya dicipta oleh Douglas Carl Engelbart sebagai sebahagian dari kajian interaksi manusia dan komputer awal pada waktu itu. Ianya diperbuat daripada kayu dengan sebuah butang pada bahagian atas. Dua buah roda besi pada bahagian bawa merekod pergerakan paksi X dan Y yang kemudiannya menggerakkan anak panah pada paparan komputer. Tetikus mendapat namanya kerana pada prototaip asal kabel yang menyambungkannya kepada komputer terletak pada bahagian belakang. Paten kepada tetikus hanya difailkan pada tahun 1970 dan hak paten ini berakhir sebelum tetikus digunakan secara meluas oleh komputer peribadi. Douglas Engelbart meninggal dunia Julai tahun lalu pada usia 88 tahun akibat kegagalan buah pinggang. Engelbart bukan sahaja bapa tetikus tetapi dianggap sebagai bapa penggunaan antaramuka grafik (GUI) moden yang digunakan kesemua komputer dan peranti pintar yang digunakan sekarang.

Sistem Pendail Telefon Menggunakan Butang Tekan
Lihat antaramuka aplikasi panggilan telefon peranti pintar anda sekarang. Barisan nombor 0 sehingga sembilan dan dua butang tambahan ini kita lihat setiap hari dan bagi mereka yang berusia bawah 30 tahun adalah antaramuka yang dikaitkan dengan telefon. Kepada pembaca yang lebih tua, telefon dengan sistem mendail ini pertama kali mereka lihat pada dekad 80an. Sebelum ini kesemua telefon awam dan yang dibekalkan Jabatan Telekom Malaysia menggunakan sistem pendail berputar. Adaptasi sistem pendail nombor yang ditekan mungkin agak lambat di Malaysia tetapi ianya diperkenalkan buat kali pertama di dunia pada tahun 1963. AT&T memperkenalkan sistem Touch Tone yang menggantikan sistem Pulse Dialing. Model awal telefon butang tekan ini mempunyai 10 butang sahaja berbanding 12 yang biasa kita lihat sekarang. Sistem telefon dengan butang tekan pada awalnya digunakan di pejabat bagi mengurangkan masa yang diambil untuk mendail nombor pelanggan. Penggunaannya secara menyeluruh hanya berlaku pada dekad 80an selepas harga telefon butang tekan berjaya diturunkan.

Kaset Kompak
Kaset kompak ialah sumber muzik kami ketika masih di bangku sekolah. Puluhan kaset yang kami beli semasa muda remaja dahulu kini sudah rosak akibat tersangkut pada pemain kaset dan jangkitan fungus yang kronik. Kesemua koleksi muzik kami kini hanya tinggal kenangan dan dengan adanya perkhidmatan muzik seperti Spotify kami tidak berniat untuk menggantikan koleksi muzik fizikal kami dalam masa terdekat. Kaset kompak diperkenalkan oleh Philips pada 13 September 1963. Ianya dicipta khas untuk menggantikan sistem pita terbuka yang digunakan pada waktu itu. Kaset kompak bukan sahaja lebih kecil dan mudah di bawah, tetapi cangkerang keras kaset kompak memastikan pita magnetiknya tidak mudah rosak. Pada awalnya kaset kompak boleh merakan 60 minit audio dan hanya digunakan untuk merakan audio percakapan. Hanya pada tahun 1966, syarikat rakaman Mercury Amerika Syarikat mula menjual kaset berisi lagu. Versi awal kaset berisi lagu tidak mendapat sambutan kerana kualiti audio yang tidak sebaik piring hitam. Menjelang 80an dengan terciptanya pita magnetik HiFi dan Sony Walkman, kaset kompak mula terjual lebih banyak dari piring hitam. Sungguhpun pemain muzik digital sekarang memberikan kualiti audio yang lebih baik dan lebih mudah dibawa kemana-mana, kami merindui zaman memutar kaset di hujung penutup pen. Menikmati muzik di zaman kaset memerlukan anda “bekerja”. Kini ianya sebuah kegiatan yang pasif.

Satelit Geoserentak
syncom2
Apa yang anda lakukan di pagi Hari Malaysia? Sebelum melakukan suntingan terhadap artikel ini kami menonton berita di saluran Astro Awani bagi memenuhi ilmu duniawi di dada. Sejak diperkenalkan pada tahun 1996, Astro kini menjadi pembekal siaran televisyen satelit utama Malaysia. Tetapi tanpa Syncom 2 yang dilancarkan oleh NASA pada Julai 1963, siaran TV satelit dan komunikasi antara benua tidak akan menjadi realiti. Syncom 2 ialah satelit geoserentak (geosynchronous) pertama di dunia. Satelit geoserentak menjadikan komunikasi antara benua semakin mudah. Parabola Astro anda tidak perlu diselarikan mengikut kedudukan satelit yang bergerak setiap kali ianya ingin menangkap siaran TV. Pada tahun yang sama, panggilan telefon menggunakan satelit berlaku di antara Presiden John F Kennedy dengan Presiden Abubakar Balewa dari Nigeria. Ujian siaran televisyen dan audio melalui Syncom 2 juga dilakukan yang menjadi pelopor kepada siarang HD yang kini nikmati sekarang.

Grafik Smiley
Harvey_Ball
Emoticon yang paling kerap kami gunakan di laman media sosial ialah Smiley. Wajah senyuman lebar dengan latar belakang bulatan berwarna kuning ini dihasilkan oleh Harvey Ball. Rekaan smiley yang ikonik ini dihasilkan oleh beliau untuk kegunaan pekerja State Mutual Life Assurance Company . Syarikat insuran ini mahukan rekaan cerita bagi menaikkan moral pekerja mereka. Ribuan butang dengan lukisan Harvey Ball ini diedarkan di kalangan pekerja dan juga pelanggan State Mutual Life Assurance Company. Rekaan ini kemudian dicetak pada baju, topi dan kad di seluruh dunia. Emoticon smiley yang wujud sekarang dicipta pada 19 September 1982 oleh Scott Falman, seorang pelajar di Universiti Carnegie Mellon. Penggunaan simbol  :)  bermula bagi menunjukkan apa yang anda tulis adalah jenaka dan bukannya sesuatu yang serius di forum pelajar.

Teleskop Radio Arecibo
Arecibo_Observatory_Aerial_View
Teleskop Radio Arecibo yang terletak di Puerto Rico ialah teleskop radio terbesar di dunia. Teleskop ini mempunyai diameter 305 meter. Sekilas pandang ia kelihatan seperti sebuah parabola legap yang diperbuat daripada simen. Sebenarnya ia terdiri daripada 38777 panel aluminium berlubang yang digantung menggunakan kabel. Seperkara lagi teleskop radio ini tidak dibina di dalam bekas kawah gunung berapi ataupun bekas hentaman meterit (ini adalah leganda urban yang kami dengar semasa di bangku sekolah). Ia sebenarnya dibina di dalam kawah semula jadi yang berlaku akibat runtuhan gua batu kapur bawah tanah. Teleskop Arecibo menjadi terkenal di dunia pada tahun 1974 kerana penglibatannya dengan projek SETI (Search for Extra Terrestrial Intelligence). Kod radio yang diberi nama Arecibo Message dipancarkan ke kluster globular M13 yang terletak 25 000 tahun cahaya dari bumi.  Maklumat yang dipancarkan hanya sebesar 210 byte tetapi mempunyai maklumat kedudukan bumi, rupabentuk manusia, maklumat DNA dan rupa teleskop Arercibo. Adalah diharap sekiranya pancaran Arecibo Message ini didengari oleh makhluk asing, mereka dapat mentafsir mesej yang disampaikan menggunakan formula matematik. Teleskop Arecibo sekali lagi mendapat perhatian dunia setelah dipaparkan di dalam filem Contact lakonan Jodi Foster yang merupakan adaptasi novel saintis terkenal Carl Sagan. Di dalam filem Contact Jodi Foster yang bekerja di Arecibo menerima mesej dari makhluk asing yang kemudian berinteraksi dengan manusia buat pertama kali.

Oleh Effi Nazrel @ amanz.my
Terima Kasih Sumber : amanz.my

Monday, September 15, 2014

On 7:08 AM by SK Labu Ulu in    No comments
Tarikh: 10 September 2014
Masa: 2.00 petang
Tempat : Bilik Seri Perpatih SKLU
Penceramah :
1-Tn Hj Kamaruzaman bin Hj Hussin, Guru Besar SKLU
2-Pn Hjh Rosnah bt Abu Bakar , GPK1 SKLU

Pengenalan
PBPPP adalah penilaian baharu memberi fokus kepada elemen pembangunan kompetensi, potensi dan keberhasilan berasaskan gred dan jawatan serta mengambil kira kepelbagaian bidang tugas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP);

Konsep Berasaskan Tugas dan Tempat Bertugas bermaksud penilaian dilaksanakan berdasarkan bidang tugas dan tempat bertugas PPP;

Pembangunan instrumen PBPPP berdasarkan Standard Prestasi yang selaras dengan GovernmentTransformation Programme 2.0  dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu pada Anjakan 4 (Transformasi Keguruan Sebagai Profesion Pilihan) dan 5 (Memastikan Kepimpinan Berprestasi Tinggi Ditempatkan Di Setiap Sekolah).

Bacaan selanjutnya di sini:


Friday, September 12, 2014

On 5:16 PM by SK Labu Ulu in    No comments
PENJELASAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
BERKAITAN PENANGGUHAN UJIAN MATA PELAJARAN
SCIENCE & BAHASA INGGERIS
UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2014


Pada tarikh 10.9.2014 pihak Lembaga Peperiksaan (LP) telah membuat kenyataan media berkaitan Peperiksaan Science 018 (SK), 028 (SJKC), 038 (SJKT) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 telah didapati bocor.

Ekoran kebocoran tersebut, pihak LP telah menangguhkan peperiksaan kertas tersebut dan akan diadakan pada 30 September 2014.

Pada 11.9.2014, pihak LP juga telah menerima laporan bahawa Kertas Peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2, bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang berlangsung pada 11 September 2014 telah juga dilaporkan bocor. LP telah menjalankan siasatan dan mendapati perkara ini adalah benar. Kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 adalah untuk Sekolah Kebangsaan sahaja dan tidak ada kesan terhadap kertas Bahasa Inggeris yang diduduki di SJKC dan SJKT.

Sehubungan dengan ini, pihak LP memaklumkan bahawa kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi UPSR tahun 2014 yang berlangsung pada 11 September 2014 adalah DIBATALKAN. Tarikh baharu bagi peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 adalah pada 30 September 2014 bersekali dengan Science 018, 028 dan 038.

Pihak LP menyedari bahawa tindakan selepas keputusan di atas perlu dilaksanakan secepat mungkin. Tarikh 30 September 2014 adalah tarikh yang paling sesuai bagi membolehkan pihak LP melaksanakannya kerana isu logistic (percetakan dan pengedaran) dan teknikal, termasuk keselamatan soalan dan integriti. Proses ini melibatkan seramai 473,175 calon, 51,438 petugas, 8,299 pusat, dan 382 bilik kebal di seluruh Negara.

Dengan perkembangan terbaharu ini, KPM akan membuat siasatan dalaman atas semua dakwaan kebocoran kertas peperiksaan. KPM memandang serius insiden ini dan akan mengambil tindakan tegas untuk memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. KPM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa (PDRM, SKMM) untuk mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab dan seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan, termasuk kemungkinan pendakwaan jenayah di mahkamah terhadap mereka yang didapati bersalah. KPM berharap tindakan tegas dan semaksimum mungkin dikenakan kepada pengkhianat tersebut.

KPM amat berasa kesal dengan perbuatan tidak amanah dan tidak berintegriti yang dilakukan oleh pengkhianat ini. Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat dan berharap satu siasatan dan tindakan keras dapat kita ambil tanpa mengira siapa pun yang bertanggungjawab dalam hal kebocoran ini.

Selain daripada kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dan Science 018, 028 dan 038 sepertimana yang disebut di atas, TIADA PEMBATALAN untuk mana-mana kertas peperiksaan UPSR yang lain setakat ini.

Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan penyebaran beritu palsu, pihak LP menyeru pihak awam untuk melayari laman web LP www.moe.gov.my/lp untuk maklumat rasmi dan terkini berhubung perkara ini. Pihak awam juga boleh hubungi HOTLINE UPSR 2014 LP di talian 03-88893601 @ 3551 @ 3809 @ 3520 @ 3030.

KPM akan menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas bagi meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP), pengendalian dan pengurusan peperiksaan awam. Ahli-ahlinya akan terdiri daripada pakar pelbagai bidang antaranya teknologi maklumat, keselamatan, dan logistic

Kementerian Pendidikan Malaysia ingin meminta maaf kepada mereka yang mengalami sebarang kesulitan akibat insiden ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia

12 September 2014



Diterbitkan oleh Unit Komunikasi Korporat


Thursday, September 11, 2014

On 7:01 AM by SK Labu Ulu in    No comments
Semua Guru hendaklah membuat semakan dan pengemaskinian data dengan menggunakan Id Pengguna dan Kata Laluan masing-masing. Sekiranya terdapat maklumat yang tidak tepat, sila maklumkan kepada PK1/PK2/PK3 untuk tindakan pembetulan maklumat. 

Jika masih menghadapi masalah untuk membuat pengemaskinian data, sila hubungi Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing (dapatkan no. telefon di “Bantuan”) 

Sekian dimaklumkan. 
On 6:52 AM by SK Labu Ulu in    No comments

MAKLUMAN TAMBAHAN KEPADA PENGGUNA SPS DAN SEKOLAH:

PENGISIAN MAKLUMAT GURU DAN MURID HANYA MELIBATKAN MEDAN DENGAN TANDA * SAHAJA. 
PENGISIAN MEDAN DAN MAKLUMAT LAIN ADALAH TIDAK DIPERLUKAN.
--------------------------------------------------

Sila berhubung dengan pentadbir SPS SKLU jika guru-guru menghadapai masalah berhubung ID & Kata Laluan.
On 6:36 AM by SK Labu Ulu in    No comments
KENYATAAN AKHBAR LEMBAGA PEPERIKSAAN

PENANGGUHAN UJIAN MATA PELAJARAN BAHASA INGGERIS
UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2014


Adalah dimaklumkan bahawa Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia telah menerima laporan bahawa Kertas Peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan berlangsung pada tarikh 11 September 2014 telah didapati bocor. Lembaga Peperiksaan telah menjalankan siasatan dan mendapati perkara ini adalah benar.

Sehubungan dengan ini, Lembaga Peperiksaan memaklumkan bahawa kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi UPSR tahun 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 adalah DIBATALKAN. Tarikh baharu bagi peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 adalah pada 30 September 2014 bersekali dengan Science 018, 028 dan 038.

Dengan perkembangan terbaharu ini, LP akan membuat siasatan atas semua dakwaan kebocoran kertas peperiksaan. Ini adalah bagi memastikan kepercayaan umum terhadap kesahan dan kebolehpercayaan keputusan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan tidak terjejas.  LP akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenalpasti pihak yang bertanggung jawab dan seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan.

Untuk mendapatkan maklumat yang tepat berhubung peperiksaan UPSR 2014, sila layari portal Lembaga Peperiksaan di alamat www.moe.gov.my/lp


Pengarah Peperiksaan
Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pendidikan Malaysia

11 September 2014

Lembaga Peperiksaan menafikan berita yang tersebar bahawa UPSR 2014 dibatalkan.

Maklumat tepat berhubung UPSR 2014, layari www.moe.gov.my/lp 

Diterbitkan oleh Unit Komunikasi Korporat


Wednesday, September 10, 2014

On 5:50 PM by SK Labu Ulu in    No comments

TWEET PALSU: PIHAK LEMBAGA PEPERIKSAAN DAN KPM TIDAK PERNAH MENGELUARKAN BERITA TERSEBUT:

Tuesday, September 9, 2014

On 4:59 PM by SK Labu Ulu in    No comments
PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan terus dikekalkan untuk menilai tahap pencapaian murid selama enam tahun di sekolah rendah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata peperiksaan itu akan menguji sejauh mana mereka menerima ilmu yang diajar guru khususnya dalam mata pelajaran utama.

"Apa-apa keputusan pun mereka akan naik ke tingkatan satu. Tetapi ibu bapa nak tahu (tahap) mana mereka berada.

"Jadi, kita teruskan dasar yang telah lama kita laksanakan untuk membuktikan kesempatan kita menilai pencapaian pelajar-pelajar," katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Presint 16 (2) di sini Selasa.

Menurutnya penilaian di peringkat sekolah rendah adalah perlu sebelum para pelajar melangkah ke sekolah menengah.

"Mereka akan terus dibimbing menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang kita laksanakan. Mudah-mudahan ini akan mencipta pelajar-pelajar yang lebih cemerlang dan mempunyai pemikiran aras tinggi dipanggil 'higher order thinking skills'," kata Muhyiddin.

Sementara itu, beliau berkata peperiksaan UPSR yang dijalankan mulai hari ini berjalan lancar di seluruh negara.

Katanya sejumlah 472,853 murid menduduki peperiksaan itu di 8,384 sekolah di seluruh negara menerusi 8,299 pusat peperiksaan.

Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada murid-murid yang menduduki peperiksaan ini dan berharap mereka akan fokus kepada soalan yang disediakan.

"Banyakkan berdoa supaya cita-cita murid-murid tercapai dan kejayaan yang cemerlang itu akan berhasil," katanya.

Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada pegawai-pegawai kementerian terutamanya tenaga pengajar yang banyak berkorban untuk meningkatkan prestasi kecemerlangan murid-murid di seluruh negara.

"Kita mengharapkan keputusan UPSR tahun ini lebih meningkat berbanding tahun-tahun lepas," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata murid-murid Sekolah Kebangsaan Presint 16 (2) yang ditemui kelihatan tenang menjawab soalan peperiksaan. Sejumlah 82 murid menduduki UPSR di sekolah berkenaan.

Beliau turut beramah mesra dengan dua murid Orang Kelainan Upaya yang turut menduduki peperiksaan iaitu Rasyiqah Ahmad Rezal yang mempunyai masalah tulang belakang bengkok dan Qaisarah Maisarah Shamsul Hizal yang mempunyai masalah penglihatan.



-- BERNAMA

Sunday, September 7, 2014

On 7:08 AM by SK Labu Ulu in ,    No comments
Tarikh : 5 September 2014
Masa : 3.00 petang
Tempat : Dewan Seri Budi SKLU
Kehadiran:
-YDP PIBG SKLU
-Guru Besar & guru-guru SKLU
-Imam Masjid Kg Pasir Putih Labu
-Para Ibubapa & penjaga
-Murid-murid tahun 5 & 6
Terima kasih kepada semua yang hadir pada petang tersebut. Marilah kita berdoa semoga anak-anak kita berjaya dalam peperiksaan yang akan diduduki.


Tuesday, September 2, 2014

On 8:32 PM by SK Labu Ulu in    1 comment
Tarikh : 27 Ogos 2014
Masa : 1.30 petang
Tempat : Kelas 1 Pintar
Guru yang diraikan : Guru yang lahir pada bulan Julai, Ogos & September & Pn Hjh Latipah bt Ab Rahman yang bertukar ke IAB Bandar Enstek
       


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...