Thursday, May 8, 2014

On 1:14 AM by SK Labu Ulu in    No comments
Tarikh : 7 Mei 2014
Masa : 2.30 petang
Tempat : Makmal ICT SKlU
Penceramah : Pn Hjh Salwa bt Md Ramli
Tajuk : Komuniti Pembelajaran Profesional / Public Learning Community (PLC)
Kehadiran : Semua guru SKLU


Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) 
Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) ditakrifkan sebagai sebuah komuniti profesional di sekolah yang terdiri daripada pentadbir dan guru-guru yang sentiasa berusaha secara berterusan belajar, mencari dan berkongsi ilmu untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka, melalui tindakan terhadap perkara yang telah mereka pelajari. Dalam hal ini, komuniti pembelajaran profesional dapatlah dianggap sebagai kumpulan profesional yang melakukan perjumpaan secara berterusan dan tetap dengan tujuan untuk meningkatkan pembelajaran mereka sendiri dan pelajar-pelajar mereka. Walaupun ahli komuniti pembelajaran ini mempunyai perbezaan dalam bentuk dan konteks, tetapi mereka berkongsi beberapa kepercayaan dan nilai-nilai teras asas. PLC dan konsep Distributed Leadership mempunyai persamaan dari segi konsep jaringan perkongsian maklumat dan ilmu dikalangan guru-guru, guru-guru pakar subjek, pemimpin serta seluruh warga sekolah.

Dengan berdasarkan idea bahawa pendidik boleh belajar antara satu sama lain, komuniti pembelajaran profesional mewujudkan dan mengekalkan persekitaran yang menggalakkan kerjasama,kejujuran, dan komitmen terhadap pertumbuhan dan pembangunan ahli-ahli sama ada secara individu atau kumpulan secara keseluruhannya. Mereka bekerjasama dengan andaian bahawa guru tidak semata-mata melaksanakan idea-idea orang lain, tetapi seorang intelektual yang melakukan kerja-kerja keilmuan. Ini bermakna bahawa dalam komuniti pembelajaran ini meletakkan keistimewaan teori seiring dengan praktikal. Mereka juga menggalakkan dan menyokong ahli-ahli untuk sentiasa mengkaji amalan pengajaran mereka, mencuba idea-idea baru, dan mereka menyediakan peluang untuk pembinaan secara kolektif perkongsian pengetahuan baru.

Konsep komuniti pembelajaran profesional adalah berhubungan antara profesional dan pembelajaran pelajar. Sebagai pendidik mereka akan sentiasa mengenal pasti dan menyelesaikan masalah amalan pengajaran secara bersama-sama, membina kapasiti secara bersama dalam meningkatkan pembelajaran dan pencapaian semua pelajar di sesebuah sekolah.

Terdapat beberapa ciri sekolah yang mengamalkan PLC, antaranya kepimpinan bersama yang saling menyokong, perkongsian nilai-nilai dan visi, aplikasi pembelajaran secara kolektif dan amalan-amalan yang dikongsi bersama. Dengan memupuk ciri-ciri tersebut, PLC akan dapat dilaksanakan dengan berkesan di sesebuah sekolah. Bagi mendapat hasil yang maksimum, pihak sekolah seharusnya mampu menyediakan pelbagai kemudahan yang sesuai bagi guru-guru menjana, bertukar dan mencabar idea masing-masing secara berterusan untuk meningkatkan mutu pengajaran mereka.

Di samping itu, penambahbaikan secara berterusan terhadap kualiti guru dan kualiti pengajarannya juga merupakan elemen penting dalam peningkatan prestasi pelajar. Dalam hal ini, tidak ada gunanya menyediakan ruang untuk PLC dilaksanakan di sekolah tanpa peningkatan kualiti guru dan pengajarannya. Seterusnya, pelaksanaan PLC memerlukan fokus yang jelas serta tepat tentang keperluan dan masalah pelajar.
Terdapat banyak ciri-ciri teras PLC, termasuk kerja pasukan kolektif di mana kepimpinan dan tanggungjawab untuk pembelajaran pelajar secara meluas dikongsi, memberi tumpuan kepada kajian reflektif, penekanan kepada meningkatkan pembelajaran pelajar, berkongsi nilai-nilai dan norma-norma, dan pembangunan amalan biasa dan maklum balas.

Berikut adalah ciri-ciri utama :
- Berkongsi wawasan dan nilai-nilai yang membawa kepada komitmen kolektif kakitangan sekolah,yang    dinyatakan dalam amalan sehari-hari
- Sentiasa mencari penyelesaian secara aktif, keterbukaan kepada idea-idea baru
- Kerja berpasukan- sentiasa bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama
- Menggalakan cuba-jaya sebagai satu peluang untuk belajar
- Mempersoalkan status quo, membawa kepada usaha yang dibuat secara berterusan untuk     penambahbaikan dan pembelajaran profesional
- Penambahbaikan yang berterusan berdasarkan penilaian outcome bukannya kepada niat melahirkan
- Refleksi untuk mengkaji operasi dan kesan tindakan yang diambil  

Terima kasih: spunkysallymara.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...